Wednesday, December 28, 2011

SBPA

Di ketika ini penjawat-penjawat awam sedang sibuk menanda tangani opsyen 60 tahun pencen dan SBPA. Bagi kaum lelaki terpulang kepada pilihan masing-masing jika kesihatan masih mengizinkan dan tanggungan masih banyak seperti anak-anak masih kecil atau isteri lebih dari seorang.

Sebaliknya bagi kaum wanita, jika sudah bersuami, perkara pertama yang mesti dipertimbangkan ialah keizi
nan suami. Sudah lama suami tidak sempat diberi layanan yang sempurna sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sudah berapa kali selama bersama bermasam muka terhadap suami dengan alasan penat bekerja. Sudah berapa kali tidak sempat menyediakan pakaian solat suami terutama solat Jumaat atas alasan keletihan bekerja. Kekadang acap kali makan minum suami pun diuruskan oleh tukang masak restoran. Kekadang bila suami terjaga diwaktu malam isteri tiada di sisi kerana isteri sedang berkursus. Walau pun sebahagian daripada perkara-perkara ini bukan tanggungjawab mutlak isteri terhadap suami tetapi inilah amal-amal yang boleh membantu isteri melangkah kaki ke syurga.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan pesan kepada wanita bahawa mereka sangat mudah untuk memasuki syurga tetapi semasa peristiwa Israk Mi'raj, Baginda ditunjukkan bahawa wanita lebih ramai dalam neraka. Untuk menjadi ahli syurga, kaum wanita hanya perlu taat kepada Allah dan Rasul, taat kepada suami atas perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan agama, menjaga maruah dan harta suami, tidak mengizinkan lelaki ajnabi memasuki rumah semasa ketiadaan suami dan tidak keluar rumah tanpa izin suami. Maka bagi kaum wanita, sebelum memilih opsyen bersara 60 tahun, muhasabahlah diri akan tanggungjawab terhadap suami yang sudah dan belum dilaksanakan kerana matlamat kita semua ialah untuk memasuki syurga bukannya kemewahan dunia semata-mata. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment