Friday, December 23, 2011

Apa nak jadi...

Apabila suami dan isteri bergaduh maka anak-anak akan merasai kesannya. Ada anak-anak yang akan menyokong siibu dan ada pula yang akan menyokong sibapa. Tetapi yang lebih parah ada anak-anak yang membenci kedua-duanya dan keluar rumah mencari identiti baru. Siibu dan sibapa akan mencari sokongan untuk membenarkan hujjah masing-masing. Maka biasanya jiran dan kawan-kawan akan menjadi tempat didedahkan segala rahsia lawan masing-masing. Maka menjalarlah berita dan rahsia itu dari sejenkal menjadi sehasta dan seterusnya. Sudah tentulah orang yang paling gembira adalah musuh kedua-dua mereka apatah lagi jika musuh mereka orang munafik. Maka sekeluarga mendapat malu dan kerugian. Mengapa mereka tidak memilih tempat mengadu yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah mereka.

Inilah ibarat akan apa yang kita lihat hari ini. Media yang kita boikot setiap hari mengambil peluang untuk menghentam dan menyelakkan keburukan yang entah betul entah salah.

Kalau kita imbas zaman Rasulullah s.a.w, apabila sahabat-sahabat berselisih pendapat maka mereka berlarian mencari Rasulullah s.a.w untuk mendapatkan nasihat. Mereka akan redha dengan keputusan Rasulullah s.a.w kerana mereka bersatu dengan satu akidah dan mereka menyayangi Rasulullah s.a.w dan satu Pencipta. Mengapa kita hari ini tidak sanggup mencontohi sahabat-sahabat sedangkan kita beria-ia mengaku berjuang Islam. Bukankah kita ada ketua yang boleh dijadikan penasihat walau pun tidak setaraf dengan Rasulullah s.a.w tetapi masih mempunyai wibawa dengan ilmu agama yang ada di dada kurniaan Allah.
Lihatlah contoh Saidina Umar yang terkenal tegas tetapi beliau tetap akur dengan keputusan Rasulullah s.a.w dalam menangani masalah tawanan perang. Rasulullah menerima pendapat Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar tidak memusuhi Abu Bakar dan tidak pula menghebohkan perkara itu untuk menegakkan pendapat beliau kepada sahabat-sahabat yang lain. Akhirnya Allah yang membenarkan pendapat Saidina Umar itu. Bagaimanakah dengan kita hari ini? Kita guna media cetak dan TV untuk cuba menegakkan pendapat kita. Jangan lupa peyokong-penyokong di luar sedang memerhatikan gelagat kita. Media yang kita anggap musuh akhirnya mendapat peluang keemasan untuk menyerang jemaah kita dengan tindak-tanduk kita juga.

Marilah kita renung betapa amanahnya Huzaifah ibnu al-Yaman (tolong betulkan jika silap) menyimpan rahsia senarai orang-orang munafik yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Rasulullah s.a.w. Pernah Saidina Umar bertanyakan kepada beliau hal itu maka beliau hanya menyatakan bahawa nama Saidina Umar tiada dalam senarai. Jika sahabat-sahabat ingin tahu terpaksalah tunggu seseorang itu meninggal. Jika Huzaifah tidak menghadiri solat jenazah maka sahabat-sahabat pun tidak pergi kerana kemungkinan besar orang itu adalah munafik. Tetapi kita hari ini sehebat manakah menyimpan rahsia jamaah?

Kita penyokong akar umbi merasa malu bila melihat pemimpin-pemin berbalah sesama sendiri yang dihebahkan dalam media cetak dan TV. Kenapa setiap pertelingkahan tidak dirujuk kepada ketua dan jamaah. Tiada untungnya bagi yang menang dan tiada rugi bagi yang kalah. Semuanya akan menanggung kerugian terutama jamaah. Musuh-musuh akan megambil peluang untuk menjadikan perkara ini lebih buruk di mata masyarakat. Setiap pemimpin janganlah mendabik dada merasakan bahawa mereka sajalah yang betul dan semua orang lain salah. Kita sepatutnya mengutamakan keputusan jamaah selagi ia tidak bercanggah dengan agama berbanding dengan keputusan dan pendapat peribadi kita. Kambing di luar kawanan lebih mudah ditangkap serigala berbanding dengan kambing dalam kawanan.

1 comment:

  1. saya teringat kata2 MSO masalah tersebut ibarat tong dram yg kemek di bahagian luar.sesiapa yg terlibat hendaklah masuk kedalam dram tersebut utk mengetuk dari bahagian dalam.Seberapa kuat nak ketuk dari dalam ketuk lah tanpa membingitkan org2 diluar.dram kemek dari luar ia tidak boleh menyempurnakan keadaan tetapi menambahkan lagi kekemekan dram berkenaan, dan juga ia menganggu ketenteraman orang lain.x gitu azima..:-)

    ReplyDelete